Cikgu Helina tempuhi cabaran demi anak-anak di pedalaman

Cikgu Helina cekal mendidik anak-anak di pedalaman demi masa depan.

LAWAS— Kelas ditunda keesokkan hari gara-gara bekalan elektrik terputus semasa mengajar, antara situasi yang kerap dihadapi oleh guru di pedalaman.

Bukan itu sahaja, masalah capaian internet yang tidak menentu seperti ‘Chipsmore’ selain itu menghadapi kekangan kemudahan teknologi seperti komputer, telefon pintar atau peranti mudah alih lain yang digunakan.

Menceritakan pengalaman itu kepada Borneo Network, Helina Chelin Entili, 36, berkata cabaran itu tidak melemahkan semangat beliau untuk mendidik anak-anak di kawasan pedalaman, baik menerusi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) atau pun secara bersemuka.


Katanya, banyak cabaran yang dihadapi sepanjang 11 tahun menjadi pendidik di TASKA Permata KEMAS, Sundar.

“Bertugas di kawasan pedalaman yang serba serbi kekurangan seperti capaian internet dan gangguan bekalan elektrik memerlukan kesabaran.

“Namun saya sudah lali kerana fokus saya untuk memastikan anak-anak di sini tidak tercicir pelajaran dan dapat menguasai pembelajaran seperti rakan mereka di bandar,” katanya.

Pada masa ini, Helina mendidik seramai 23 murid yang mengikuti pembelajaran atas talian.

Setiap hari persekolahan, beliau seawal jam 6 pagi memandu sejauh lebih 40 kilometer berulang-alik dari Lawas ke Sundar.

Beliau yang merupakan anak ketiga dari empat adik beradik dan berasal dari rumah panjang Lubai Limbang menjelaskan, semangat belajar anak-anak di pedalaman itu tetap tinggi selain galakan daripada ibu bapa.

“Ibubapa akan sedaya upaya berusaha memastikan anak-anak mereka tidak terciri mengikuti kelas dalam talian.

“Ada yang sanggup turun ke bandar,belajar dalam kereta dan ada yang belajar di kebun semata-mata untuk mengikuti kelas PdPR,”kata pemenang Anugerah Inovasi dan Multimedia Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan di Pahang itu baru-baru ini.


Beliau berkata semangat yang ditunjukkan pelajar dan ibubapa mereka mencetuskan satu iltizam tinggi kepadanya untuk memastikan mereka terus berjaya.

“Sebagai guru, kita bukan saja cakna, tetapi perlu lebih kreatif dalam pengajaran untuk memastikan pelajar kita berminat belajar secara dalam talian termasuk memasukkan lagu yang dinyanyikan pelajar sebelum pembelajaran dimulakan,” katanya.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini Helina juga turut mencipta video ringkas mengenai eksperimen sains yang dibuat pelajarnya di rumah.

“Video itu dirakam ibu bapa mengenai aktiviti yang dibuat anak- anak di rumah berkaitan cara merubah warna air menggunakan bahan-bahan murah dan senang didapati tanpa kos dan tidak membebankan,"katanya.

Melalui video itu, Helina berjaya merangkul dua anugerah iaitu Anugerah Video PdPR Paling Popular dan juga Naib Johan bagi Anugerah Amalan Terbaik PdPR Kategori TASKA pada Majlis Anugerah Inovasi dan Multimedia Pendidikan Awal Kanak-kanak (AIMPAK) Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh KEMAS Malaysia baru-baru ini.

Beliau berharap kemenangan itu dapat merangsang pendidik dan ibu bapa lain agar tidak menjadikan kawasan jauh di pedalaman sebagai alasan untuk berjaya.

“Kekurangan itu perlu menjadi pendorong kepada mereka untuk menonjolkan keupayaan mereka setanding dan lebih baik daripada mereka di kawasan bandar,” katanya lagi.
Next Post Previous Post