Dakwa guna buruh paksa, kastam Amerika rampas minyak sawit Malaysia
Gambar hiasan |
KUALA LUMPUR—Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) telah merampas empat penghantaran minyak sawit Malaysia bernilai hampir US$2.5 juta (US$1 = RM4.18) di Baltimore sejak 11 Februari lepas berdasarkan maklumat yang menunjukkan bahawa produk tersebut dihasilkan oleh buruh paksa.
Sejumlah tiga rampasan dibuat pada 11 Februari, yang terdiri daripada gabungan 270 pek super asid palmitik, diikuti oleh penyitaan pada 1 Mac yang merangkumi 108 pek super asid palmitik, yang semuanya dihasilkan di Malaysia.
Menurut satu kenyataan daripada CBP AS, destinasi kesemua penghantaran itu adalah fasiliti pemprosesan di Delaware.
Pek super adalah karung fleksibel besar yang digunakan untuk mengangkut kargo pukal seperti pasir, bijirin, biji kopi atau bahan serbuk dan asid palmitik adalah minyak kelapa sawit yang ditapis menjadi serbuk agar mudah dicampurkan ke dalam makanan, minuman serta produk penjagaan kesihatan dan kulit.
Pada 28 Jan lepas, CBP AS mengeluarkan Notis Rujukan kepada Daftar Persekutuan (FRN 2022-01779) bahawa produk minyak sawit dan derivatif tertentu yang dibuat sepenuhnya atau sebahagiannya dengan minyak sawit yang dihasilkan di Malaysia dengan penggunaan banduan atau dipaksa atau buruh paksa adalah tidak boleh diterima serta melanggar 19 USC 1307 dan 19 CFR 12.42.
"CBP AS akan terus memastikan bahawa produk yang dibuat dengan buruh paksa tidak memasuki perdagangan dalam negara kami dan kami akan membantu untuk menghapuskan amalan yang tidak berperikemanusiaan ini daripada berakar dalam rantaian bekalan AS,"” kata Pemangku Pengarah Pelabuhan Kawasan CBP AS di Baltimore, Marc Calixte.
-- BERNAMA