APMM tahan 33 nelayan Vietnam, rampas 30 tan ikan

Gambar APMM

KUCHING--Dua buah bot nelayan asing yang sedang leka meraih hasil laut di perairan negara ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim amalan (APMM) di kawasan 120 batu nautika dari tenggara Tanjung Sirik pada petang Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus dalam kenyataannya hari ini berkata, tangkapan pertama dikesan Kapal Maritim (KM) Arau pada jam 6.30 pagi semasa sedang membuat rondaan di sekitar perairan Beting Patinggi Ali.


"KM Arau terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir empat jam untuk memintas dan berjaya menahan setelah dihimpit rapat," ujarnya.

Bot kedua pula katanya dikesan sekitar jam 11.30 pagi dan KM Arau telah mengambil masa hampir satu jam untuk mengepung dan menahannya.

Hasil pemeriksaan menurut Md Yunus mendapati kedua-dua bot terbabit disyaki bot nelayan warga Vietnam.


"Hasil semakan mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan di perairan negara," jelas beliau.

Seramai 33 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 19 hingga 60 tahun turut yang mana kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.

Peralatan menangkap ikan, bekalan diesel berjumlah 22 ribu liter serta hasil tangkapan sekitar 30 tan ikan campur turut dirampas yang mana keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM2.5 juta.


Bot dan kesemua kru kemudiannya menurut beliau diiringi ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Jeti APMM KOMTAS, Muara Tebas untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menangkap ikan di perairan negara dan pesalah boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong, manakala kru boleh didenda RM600 ribu setiap seorang serta vesel tersebut boleh dilucut hak.

Tekong dan kesemua kru turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Next Post Previous Post