Air melimpah masuk rumah susulan hujan lebat
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Kapten (PA) Sulaiman Salama berkata, pihaknya bergegas ke lokasi untuk memantau keadaan banjir yang menenggelamkan jalan utama selain kediaman penduduk dalam kejadian hujan lebat sekitar 6.30 petang.
"Kawasan jalan raya ditenggelami air setinggi sekaki dan beberapa kawasan kediaman orang awam dinaiki air setinggi dua kaki.
"Keadaan hujan lebat menyebabkan rumah penduduk di Kampung Tabahn dinaiki air dan pasukan kita memberi bantuan untuk memindahkan beberapa barangan di tempat yang selamat,”katanya kepada Borneo Network semalam.
Bagaimanapun katanya paras air beransur surut perlahan setinggi setengah kaki dari kediaman orang awam dan jalan raya boleh dilalui oleh kenderaan kecil kira-kira jam 8 malam tadi.
Dalam pada itu ketika melakukan pemantauan di Jalan Batu Tiga Jalan Kubong katanya terdapat beberapa buah kenderaan kecil mengalami kerosakan akibat dinaiki air.
"Pasukan kita membantu orang awam untuk memindahkan kenderaan dari kawasan dinaiki air,”ujarnya lagi.
Sementara itu Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh Limbang Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal berkata antara kawasan terjejas t ekoran banjir kilat termasuk Kampung Penapak, Jalan Pandaruan dan Kampung Tabahan dan Jalan Sibukang.
"Sepasukan anggota dikerah ke lokasi untuk melakukan pemantauan siapsiaga kawasan berisiko banjir di Jalan Pandaruan dan Kampung Tabahan yang terletak 15 kilometer dari balai,”ujarnya.