1,571 polis dikenakan tindakan tatatertib tahun lepas

Gambar arkib

KUALA LUMPUR—Seramai 1,571 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit  Aman Datuk Azri Ahmad.

Beliau berkata antara kesalahan integriti yang dilakukan adalah tidak mengisytiharkan harta, mengunjungi pusat hiburan, berkahwin tanpa kebenaran, enggan menerima laporan dan meminta imbuhan.

Azri berkata mereka yang terlibat dengan kesalahan integriti disiasat di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Selain itu, terdapat juga 23 pegawai dan anggota polis direkodkan terlibat kesalahan jenayah, rasuah (18), dadah (84) dan syariah (48).

“Oleh itu, bagi memperkasakan integriti warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), kami akan memberi fokus kepada enam elemen pada tahun ini iaitu memperkasakan tadbir urus/kepolisan, pengurusan aduan, risikan/operasi, siasatan, pematuhan serta agama dan kaunseling,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya elemen tadbir urus/kepolisan am melibatkan sudut perlakuan menerusi kursus, latihan dalam perkhidmatan dan program ilmiah berterusan kepada warga PDRM manakala elemen pengurusan aduan pula adalah mempromosi kewujudan e-SPA (Sistem Pengurusan Aduan) kepada orang awam serta warga PDRM.

Selain itu, elemen risikan/operasi pula mempertingkatkan integriti dalam kalangan warga PDRM dengan menangani penglibatan warga PDRM terhadap penyalahgunaan dadah dan ketum selain serbuan mengejut terhadap petugas barisan hadapan di lapangan bagi mencegah isu pemerasan di sekatan jalan raya dan lain-lain.

Azri berkata bagi elemen siasatan, JIPS mempertingkatkan kualiti dalam siasatan pegawai dan anggota polis dengan menjalankan siasatan secara menyeluruh serta terperinci supaya mereka yang terlibat dengan salah laku akan diadili sewajarnya berdasarkan fakta serta pembuktian.

“Bagi elemen pematuhan, kami mengambil pendekatan pencegahan dengan mempertingkatkan pemeriksaan pematuhan untuk menutup ruang dan peluang berlakunya salah laku serta penyelewengan dalam kalangan pegawai dan anggota polis,” katanya.

Beliau berkata menerusi elemen agama dan kaunseling, integriti warga kerja PDRM akan diperkasa secara inklusif dengan menekankan aspek pembangunan, pencegahan dan pemulihan melalui pendekatan agama serta psikologi dan kaunseling.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan netizen membuat aduan tidak menggunakan saluran yang betul dan menularkan sesuatu isu menerusi media sosial sebelum siasatan dijalankan, Azri berkata fenomena itu menjadikan netizen sebagai hakim tanpa kesahihan fakta sebenar.

“Saya berpandangan bagi isu sensitif lebih-lebih lagi melibatkan maruah, ia perlu dilakukan mengikut saluran betul dengan membuat laporan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata tindakan secara profesional perlu dilakukan supaya mangsa terlibat tidak terdedah kepada kecaman dan komen-komen negatif yang boleh mempengaruhi emosi selain mengelak masyarakat terus membuat andaian yang tidak benar terhadap pihak terlibat.

“Saya melihat masyarakat kini hanya berani menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung sesuatu isu dengan menularkan isu berkenaan menerusi media sosial seperti aplikasi WhatsApp dan Facebook tetapi enggan bertindak dengan betul (membuat laporan),” katanya.

Azri berkata mereka seharusnya membuat aduan kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post