1,257 kes serangan seksual kanak-kanak di Sarawak bagi tempoh 2016-2021
Dato Sri Fatimah Abdullah semasa sidang media di Miri |
Menurutnya, daripada semua kes yang dilaporkan, kes yang melibatkan kanak-kanak perempuan adalah sebanyak 980 berbanding kanak-kanak lelaki hanya 71 kes bagi tempoh sama.
"Bagaimanapun, kes serangan seksual terhadap kanak-kanak lelaki mencatatkan peningkatan iaitu dari hanya 7 kes dalam tahun 2016 dan meningkat kepada 11 kes pada tahun 2021 yang mana ianya merupakan senario yang membimbangkan," jelas beliau dalam sidang media yang diadakan sejurus menghadiri Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak Bil.1/2022 di Miri semalam.
Beliau berkata, bagi kes terbabit, ianya membabitkan 288 suspek lelaki dan seorang wanita.
Fatimah dalam masa sama sebagai mengatakan lebih 90 peratus kes serupa dilakukan sendiri oleh orang yang dikenali mangsa sama ada ahli keluarga sendiri (incest) dan penjaga yang sah termasuk guru, juru latih dan sebagainya.
Justeru itu katanya, beliau menasihatkan ibu bapa agar sentiasa peka dengan perkembangan anak-anak jagaan mereka dan mendengar apa sahaja keluhan mereka bagi menggelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
"Tidak dapat dinafikan, terdapat kes serangan yang seksual yang berlaku dalam kalangan keluarga dan ada yang sanggup mengenepikan hal yang berlaku demi menjaga aib keluarga," jelasnya.
Hal sebegini tegasnya harus dilaporkan sehingga pelakunya disabit salah kerana setiap kanak-kanak harus dijaga sebaik-baiknya.
Fatimah dalam masa sama memohon kepada pihak mahkamah agar mempercepatkan proses perbicaraan melibatkan kanak-kanak di negeri ini bagi memastikan ianya dapat diselesaikan secara adil sekaligus menyeret si pelaku ke muka pengadilan.