Zuraida ditendang dari Bersatu?


Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu membayangkan pemecatan ahlinya Zuraida Kamaruddin dan individu lain dalam parti yang didakwa terlibat dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Anggota MPT Bersatu Muhammad Faiz Na'aman yang mengesahkan perkara itu berkata, perkara ini dibangkitkan semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 25 Januari lalu.

"Isu ini dibangkitkan dalam mesyuarat berikutan Datuk Zuraida yang dilihat mempunyai penglibatan dalam pembentukan PBM, sama ada secara langsung atau tidak.”

“Walapun beliau tidak menyatakan pendirian secara terbuka atau kepada MPT, namun semua pengikutnya sudah menyertai PBM,” katanya dipetik Malaysiakini.

Faiz menambah, setakat ini Jawatankuasa Pengurusan Parti di bawah timbalan presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sedang meneliti perkara ini sekiranya ada laporan daripada akar umbi.

Tambahnya, setakat ini keputusan untuk memecat Ahli Parlimen Ampang itu masih dalam siasatan dan pihaknya menyerahkan isu itu kepada Biro Disiplin dan Biro Politik parti.

Dalam pada itu, Faiz secara peribadi menganggap Zuraida tidak lagi setia kepada Bersatu dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya berkata ini berdasarkan maklumat dalaman yang saya terima mengenainya, dan ahli MPT sendiri yang berkomunikasi dengannya.”

“Saya berpendapat Zuraida perlu dipanggil untuk menjelaskan pendiriannya,” kata Faiz.

PBM merupakan parti politik baru dan ditubuhkan oleh sekumpulan bekas pemimpin PKR yang sehaluan dengan Zuraida.

Zuraida merupakan menteri industri perladangan dan komoditi, yang juga bekas naib presiden PKR.

Ahli Parlimen Ampang itu dipecat daripada parti pimpinan Anwar Ibrahim itu berikutan peranannya dalam Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), dua tahun lalu.

Zuraida kemudian menyertai Bersatu bersama bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, yang turut dipecat PKR kerana peranannya dalam menumbangkan kerajaan PH.

Kedua-duanya kemudian dilantik menganggotai MPT Bersatu. 

Khabar angin bertiup kencang menyatakan Zuraida merancang menubuhkan parti politik baharu dan ini dikuatkan apabila beberapa bekas pemimpin PKR yang sehaluan dengan Zuraida dan Azmin mengasaskan PBM pada akhir tahun lalu.

Pada Disember lalu, bekas setiausaha politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad mengumumkan keluar dari Bersatu untuk menyertai PBM dan membawa bersama 53,000 ahli Penggerak Komuniti Negara (PKN), sebuah NGO yang dikaitkan dengan Zuraida.
Next Post Previous Post