VTL rancakkan pelancongan Sarawak - Abdul Karim

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui media di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini. (Gambar kredit Twitter Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah )

KUCHING— Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Brunei dilihat mampu merancakkan semula sektor pelancongan Sarawak seperti waktu prapandemik COVID-19.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Sarawak yang berkongsi sempadan dengan Brunei sememangnya bakal memperoleh manfaat sekiranya sempadan dibuka semula.

“Kita harap usaha ini akan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat. VTL akan membawa masuk ramai warga Brunei ke Miri. Malah sebelum COVID-19 melanda, pengunjung paling ramai masuk ke Sarawak adalah dari Brunei.

“Jika pintu sempadan dibuka, ia akan mengembalikan (industri pelancongan Sarawak) seperti apa yang berlaku sebelum COVID,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini. 

Abdul Karim berkata Sarawak turut berharap agar laluan VTL juga dapat dipersetujui dengan Singapura dan Indonesia yang mempunyai kepentingan kepada industri pelancongan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia dan Brunei secara dasar bersetuju untuk melaksanakan Laluan VTL udara dan darat bagi pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata selain itu, Brunei juga bersetuju pengiktirafan penggunaan MySejahtera dan BruHealth di kedua-dua negara bagi memudahkan integrasi sistem dan penggunaan oleh rakyat Malaysia dan Brunei.

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post