Usahawan Tekun akan diwajibkan ambil insurans perniagaan
Tan Sri Noh Omar // Foto Ihsan FB Tekun Nasional |
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Tan Sri Noh Omar berkata skim yang dilaksanakan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu hanya memerlukan usahawan membayar kira-kira RM13 sebulan bagi mendapatkan manfaat perlindungan.
Beliau berkata pembelian insurans itu diwajibkan setelah melihat kepentingannya kepada usahawan terutama ketika berdepan waktu-waktu mencabar seperti bencana banjir.
“Skim ini sebenarnya sudah diperkenalkan kepada usahawan TEKUN dulu tetapi dijadikan pilihan (sukarelawan) dan sekarang kita (kementerian) hendak mewajibkannya.
“Perincian lanjut mengenainya akan saya maklumkan kelak kerana melalui skim ini, mereka akan mendapat perlindungan insurans sama seperti polisi insurans kenderaan, cuma ini TEKUN akan uruskan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan pentadbiran syarikat insurans Prestige Legacy di Wangsa Maju, di sini hari ini.
Noh dalam pada itu berkata syarikat insurans juga digalak memperluaskan skim perlindungan insurans mereka kepada sektor perniagaan memandangkan ketika ini belum ada syarikat insurans memasukkan perihal bencana alam dalam perlindungan insurans mereka kecuali bagi kenderaan yang dibuat secara pilihan.
“…kerana itu, kita nampak sudah sampai masanya mereka memberikan pertimbangan atau peluang kepada usahawan untuk membeli skim insurans.
“Sebab kita tahu sekarang ini, macam-macam keadaan boleh berlaku dan jika ia (liputan insurans) dapat dikembangkan saya ingat itu amat baik,” katanya.
-- BERNAMA