Tukar maklumat kad pengenalan, Sajjad dikehendaki polis


KUALA LUMPUR— Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai 'Sajat' dikehendaki polis bagi membantu siasatan satu kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.


Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini Muhammad Sajjad yang merupakan saksi dalam perbicaraan kes tipu itu di Mahkamah Ampang Jaya, perlu hadir pada prosiding itu pada 22 Feb ini.

"Saksi berkenaan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Mastura Abdul Basher di talian 018-2053955," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Muhammad Sajjad diburu oleh pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada Jun tahun lepas, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post