Tujuh ditahan dalam Ops Samseng


SEREMBAN— Akibat menunggang motosikal dengan aksi ‘wheelie’ dan gaya ala ‘Superman’, enam remaja lelaki ditahan polis di lokasi berasingan di sekitar Seremban malam tadi menerusi Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan Supt Shafiei Muhammad berkata kesemua individu berumur dalam lingkungan 17 hingga 21 tahun itu ditahan di Senawang dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) kira-kira pukul 11 malam.

"Dalam operasi tersebut, enam remaja berusia 17 hingga 21 tahun ditahan selepas didapati melakukan aksi ‘wheelie’ dengan mengangkat tayar hadapan, melakukan aksi ala 'Superman’ dan bersaing sesama sendiri selain memotong secara zig zag terhadap kenderaan lain.

"Selain itu, menerusi operasi sama, seorang lagi pekerja swasta berumur 40 tahun turut ditahan di Jalan Kayu Ara, di sini kerana memandu kereta di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan iaitu 50 miligram (mg) dalam 100 mililiter darah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua individu tersebut dipohon reman di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post