Tujuh ahli sindiket dadah guna kurier ditahan
JOHOR BAHRU—Polis menumpaskan satu sindiket
mengedar dadah menggunakan perkhidmatan kiriman cepat selepas
memberkas tujuh individu dan merampas sejumlah dadah bernilai RM1.04 juta,
Sabtu lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lima
lelaki tempatan dan dua wanita warga asing berusia 22 hingga 56 tahun
itu ditahan dalam tujuh serbuan di sekitar sini, bermula 3 petang
hingga 11 malam.
Beliau berkata pihaknya merampas 3.02 kilogram (kg) serbuk
ekstasi bernilai RM151,050 dan 17.70kg magic mushroom bernilai
RM885,100 serta wang tunai berjumlah RM21,850 di samping menyita tiga
kereta bernilai RM113,800.
"Modus operandi sindiket yang telah beroperasi sejak November 2021 itu adalah dengan menghantar dadah menggunakan perkhidmatan kiriman cepat untuk pasaran Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata dua daripada mereka yang ditahan didapati
positif dadah dan lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta
jenayah.
Katanya kesemua individu itu direman hingga 12 Feb ini
untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu Kamarul Zaman berkata satu sindiket
pemerasan melibatkan ugutan dan penyebaran video bogel berjaya ditumpaskan
pihaknya, susulan penahanan tujuh individu menerusi ‘Op Bugil’
pada 16 Jan lepas.
Beliau berkata empat lelaki dan tiga wanita, berusia 25
hingga 54 tahun, ditangkap dalam enam serbuan berasingan di Pulau Pinang,
Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
Katanya sindiket itu memperdaya mangsa,
kebanyakannya lelaki berusia 20an hingga 40an, untuk melakukan
panggilan video sambil berbogel dan membuat aksi lucah menerusi aplikasi
MiChat, WeChat dan Whatsapp.
"Sindiket berkenaan kemudiannya akan menggunakan rakaman
itu untuk mengugut mangsa dan jika mangsa tidak bayar, rakaman itu akan
ditularkan di media sosial,” katanya.
Kamarul Zaman berkata hasil tangkapan itu
pihaknya berjaya menyelesaikan 25 kes berkaitan jenayah ugut mengikut
Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Sementara itu katanya 368 aduan berkaitan ugutan
penyebaran video bogel membabitkan anggaran kerugian RM485,013,
direkodkan sejak Januari 2021 sehingga kini.
-- BERNAMA