Tubuh Ladang Hutan Komoditi di Sarawak - Willie


KUCHING: Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin mencadangkan sebuah Ladang Hutan Komoditi ditubuhkan di negeri ini.

Jelasnya, ia sebagai penanda aras untuk membentuk pelan menyeluruh bagi sektor agrokomoditi di Sarawak.

Beliau semasa kunjungan hormatnya kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini pagi semalam turut berkongsi pandangannya mengenai pelbagai perkara termasuk sektor agrokomoditi dan kelestarian Sarawak.

Selain itu, beliau turut berkongsi pandangan bagi meneliti semula dan meminda beberapa kriteria agrokomoditi yang telah menjadi subjek perjanjian kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Menurut Ahli Parlimen Puncak Borneo itu lagi, Sarawak mempunyai kira-kira 30 peratus tanah hak adat Bumiputera (NCR) yang terletak di tanah tinggi yang mana tanah tersebut tidak sesuai untuk tanaman kontan pertanian.

"Ladang Hutan Komoditi akan menampilkan spesies kayu yang dijangka menjana pendapatan kepada Bumiputera, khususnya bagi pemilik tanah NCR yang terbiar.

“Idea itu disifatkan sebagai penanda aras untuk membentuk pelan menyeluruh bagi Sarawak dalam sektor ladang hutan, apabila melihat perkembangan yang dicapai negara jiran seperti di Kalimantan, Indonesia,” katanya.

Dalam kunjungan tersebut juga, Willie menyatakan sokongan terhadap kelulusan dua lembaga iaitu Lembaga Nipah dan Sago serta Lembaga Industri Getah Sarawak (SARIB).
Next Post Previous Post