Tiong Disahkan Positif COVID-19

Mugshot: Dato' Seri Tiong King Sing

BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu, Dato' Seri Tiong King Sing disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian RT-PCR hari ini.

Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong dalam kenyataannya berkata, beliau berasa tidak sihat sejak semalam lalu menjalankan ujian RT-PCR dan keputusannya positif COVID-19.

"Buat masa sekarang, saya berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani kuarantin kendiri selama 7 hari," ujarnya.

Menurutnya, kedua-dua Pusat Khidmatnya di Bintulu dan Dudong juga terpaksa ditutup sementara waktu susulan terdapat kakitangan yang bertugas di Pusat Khidmat Dudong turut disahkan positif COVID-19.

Semua kakitangan di kedua-dua Pusat Khidmat berkenaan juga sedang menjalani kuarantin. 

Tiong berkata, jika terdapat sebarang keperluan atau pertanyaan daripada rakyat di Bintulu dan Dudong, semua mereka boleh terus menghubungi kakitangan pusat khidmat atau hubungi terus nombor telefon bimbit miliknya.

"Sepanjang tempoh kuarantin ini, saya akan cuba sedaya upaya untuk melakukan akses yang terbaik bagi membantu rakyat di Bintulu dan Dudong bagi memastikan masalah mereka dapat diselesaikan," ujarnya.

Beliau dalam masa sama menyarankan bagi mana-mana individu yang pernah bertemu dengan beliau dalam masa terdekat ini tadi agar menjalani ujian saringan COVID-19 dan menjalani kuarantin kendiri.
Next Post Previous Post