Tiga Kali Diviral Di Facebook, Samseng Jalan Raya Ditahan Polis
DITAHAN: Suspek sejurus ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung perihal pemanduan secara merbahaya. |
BINTULU: Seorang pemandu teksi yang selalu memandu secara
berbahaya dan melanggar undang-undang jalan raya akhirnya ditahan di Jalan Main
Bazaar pada jam 4 petang semalam.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bintulu,
Inspektor Jeffery Jembol dalam kenyataannya hari ini berkata, pemandu teksi
terbabit yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun sudah tiga
kali diviralkan dalam laman sosial Facebook sebelum ditahan Polis Diraja
Malaysia (PDRM).
Katanya, bertindak atas maklumat melalui gambar yang diviralkan dalam media sosial Facebook 'Bintulu News', yang dimuat turun pada 22 Januari, 14 Februari dan 16 Februari, maka pasukan polis bertindak menjalankan siasatan lalu menahan suspek di hadapan sebuah hotel bajet di Jalan Main Bazaar.
Secara amnya, gambar yang menjadi viral dalam laman Facebook
itu menunjukkan pelbagai kesalahan lalu lintas yang boleh mendatangkan bahaya
buat beliau serta pengguna jalan raya yang lain.
Suspek ujarnya telah di tangkap dengan menunjukkan kad kuasa
polis dan diterangkan sebab-sebab tangkapan di buat.
"Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas
suspek berkenaan mengesahkan beliau negatif mengambil sebarang jenis
dadah," ujarnya.
Suspek kemudiannya ditahan dan disiasat di bawah Seksyen
42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh
membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda sehingga
Rm15, 000 termasuk lesen boleh digantung tidak kurang lima tahun.
Pihak polis menurutnya sentiasa memandang serius se aduan orang berkaitan kesalahan lalu lintas yang mana tindakan sewajarnya akan diambil bagi setiap individu yang menjadi samseng jalan raya serta cara pemanduan yang membahayakan pengguna jalan raya yang lain.