Tidak wajib periksa suhu badan di premis KPM mulai esok
KUALA LUMPUR—Pemeriksaan suhu badan di premis institusi
pendidikan bawah Kementarian Pendidikan (KPM) tidak diwajibkan berkuat
kuasa esok.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan
bagaimanapun, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan
sokongan dan pelawat masih diwajibkan mengimbas kod QR melalui aplikasi
MySejahtera sebelum memasuki premis institusi pendidikan bawah KPM.
"Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa atau penjaga
dimohon supaya memastikan anak atau anak jagaan mereka berada dalam
keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah," menurut
kenyataan itu.
Ketetapan itu dibuat susulan pengumuman Menteri
Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa berkaitan
pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku
rekod mendaftar masuk di premis bermula esok.
KPM berkata murid yang bergejala atau mempunyai
ahli keluarga yang disahkan positif serta tinggal serumah, tidak
dibenarkan hadir ke sekolah.
Menurutnya tahap kesihatan murid di sekolah akan
dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di
bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya.
"KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai
di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM," katanya.
-- BERNAMA