Tiada penternak buat laporan kematian mengejut 200 babi, dikhuatiri ASF

Teo (kanan) menunjukkan babi terakhir milik Sunang (dua kiri) yang mati hari ini. - Utusan Borneo Online

SIBU: Tiada penternak babi tampil melaporkan kematian kira-kira 200 ekor babi dari 14 rumah panjang di Sungai Sengan dan Sungai Menyan, Salim secara tiba-tiba sejak dua minggu lalu dikhuatiri akibat Demam Babi Afrika (ASF).

Memetik laporan Utusan Borneo Online, Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Teo Boon Siew berkata, beliau membuat lawatan ke salah sebuah rumah panjang dan menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) untuk melaporkan kejadian tersebut.

Difahamkan, sejak kejadian itu, tiada seorang penternak babi dari kawasan berkenaan melaporkan kejadian tersebut kepada JPVS.

Sementara itu, menurut seorang penternak babi, Sunang Radin, 45, dari Rumah Magdeline, 13 ekor babi yang diternaknya mati secara tiba-tiba dalam tempoh empat hari.

“Babi terakhir mati hari ini dan saya sudah tanam semua babi yang mati itu. 

“Saya menternak babi untuk kegunaan sendiri dan sebahagian daripada pendapatan saya. Dengan semua babi mati, saya kini kehilangan pendapatan,” katanya yang dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM10,000.

Sehubungan itu, Teo menggesa kerajaan memandang perkara itu dengan lebih serius dan meminta pihak berkaitan turun padang memantau masalah tersebut.

“Kerajaan juga harus turun padang dan melihat apakah langkah pencegahan boleh diambil. Ajar penduduk rumah panjang bagaimana mengelak perkara itu daripada berulang.

“Saya juga berharap kerajaan dapat memberi bantuan kewangan kepada penternak babi yang terjejas kerana mereka sudah kehilangan pendapatan,” ujarnya.

Pada masa sama Teo menyeru penduduk rumah panjang terbabit supaya sentiasa melaporkan kepada JPVS jika ada kejadian seperti itu berlaku.

Untuk rekod, operasi pemusnahan selama tiga hari bermula 16 Februari lalu memusnahkan kira-kira 1,400 ekor babi di sepanjang Jalan Oya di sini selepas babi terbabit diuji positif ASF.

Difahamkan aktiviti pemusnahan dijangka selesai hari ini diikuti dengan aktiviti dekontaminasi.
Next Post Previous Post