Terhumban langgar kayu, lalu hilang


BETONG: "Kami terlanggar kayu ditengah sungai, menyebabkan mangsa, Baki Nyambong, 49, terhumban jatuh kedalam sungai. Walau bagaimanapun kelibat mangsa tidak timbul-timbul merisaukan saya. Saya cuba memerhati jika ada sebarang bayang yang meragukan namun hampir satu jam menunggu mangsa tidak juga timbul," itu kata-kata abang mangsa yang merupakan saksi kejadian lelaki hilang ketika jatuh dari bot sewaktu memancing di Sungai Skrang, di kawasan Lidong dekat sini kelmarin.


Sanggin Nyambong, 62, merupakan saksi kejadian yang bersama mangsa keluar memancing pada petang Khamis lalu.


Menceritakan detik sebelum kejadian, mangsa berjanji untuk sama-sama memancing pada sebelah pagi, namun kerana urusan yang perlu diselesaikan mereka terpaksa melupakan hasrat untuk memancing bersama.


"Saya terlebih dahulu keluar sendirian memasang pancing sekitar jam 3 petang disebelah Hulu Sungai. Disebabkan enjin bot rosak saya balik semula kepengkalan dan memasang pancing diseberang Sungai.


"Ketika saya asyik dengan pancing, terdengar suara mangsa memanggil dan meminta untuk turut sama memancing.


"Kami menghala ke hilir sungai untuk memancing. Semasa dalam perjalanan mencari lokasi memancing, perahu kami yang kebetulan berada ditengah sungai tiba-tiba terlanggar kayu didalam sungai. Mangsa yang hilang imbangan terus terjatuh," katanya.


Melihat mangsa tidak timbul, Sanggin kembali kerumah panjang dan memberitahu tentang insiden tersebut serta meminta bantuan penduduk mencari mangsa.


Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bersama pihak Bomba Dan Penyelamat (BBP) Betong, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.


Walau bagaimanapun usaha mencari mangsa menemui kegagalan dan operasi ditangguhkan sekitar jam 5 petang disebabkan cuaca hujan lebat. Operasi akan disambung semula pada esok.

Next Post Previous Post