Suspek positif COVID-19 lari dari Hospital Kinabatangan
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintenden Dzulbaharin Ismail berkata, kejadian berlaku lebih kurang 2.00 pagi itu membabitkan tahanan bernama Suhin Mursidi, 37 tahun, berbangsa Suluk, Warganegara Filipina.
Jelasnya, Pusat Kawalan Daerah Kinabatangan telah menerima makluman daripada Ketua Polis Balai Kota Kinabatangan pada jam 2.40 pagi bahawa anggota bertugas sentri di Hospital Kota Kinabatangan menyatakan seorang tahanan yang dikuarantin dan menerima rawatan lanjut COVID-19 telah melarikan diri.
"Suspek disedari tiada di dalam bilik tahanan kuarantin wad lelaki apabila pemeriksaan oleh dua anggota sentri yang bertugas pada masa tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Dzulbaharin, siasatan awal ditempat kejadian yang dijalankan mendapati suspek telah ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kinabatangan pada 18 Februari 2022 jam 10.30 malam di Perumahan Pekerja Ladang Pontian Pico atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu dengan berat 30.21 gram.
Tegasnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, suspek kemudian telah dibawa ke Hospital Kota Kinabatangan untuk menjalani ujian swab Rapid Test Kid Antibodi (RTK) sebelum dimasukkan ke dalam lokap.
Walaubagaimanapun, katanya, suspek tersebut telah disahkan positif COVID-19 dan seterusnya dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk menerima rawatan lanjut.
"Suspek telah melarikan diri melalui pintu belakang wad lelaki Hospital Kota Kinabatangan.
"Suspek dipercayai memakai baju T-Shirt warna hitam dan berseluar jeans," ujarnya.
Berikutan itu, beliau memberitahu Ops Kesan telah dilancarkan untuk mengesan suspek bersama Unit K9 IPD Lahad Datu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 223/224
Kanun Keseksaan.
"Polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan melalui nombor telefon 089-561890 (Pusat Kawalan Daerah Kinabatangan) atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Insp Norazmeer Azmi ditalian 013-6309080," tambahnya.