SUFC nafi laporan Nadi Arena, peminat bola sepak gesa saman Astro


KUCHING: Bekas pemain import Sarawak United FC (SUFC), Sandro da Silva telah menolak tawaran kontrak musim 2022 yang ditawarkan pada tahun lepas, tegas SUFC. 


SUFC dalam kenyataan di Facebook rasmi kelab itu malam tadi menjelaskan, pihaknya menawarkan kontrak musim 2022 kepada Sandro pada 2 Disember 2021.

Walau bagaimanapun, kata kelab itu, tawaran tersebut ditolak oleh beliau sendiri (Sandro) melalui sistem aplikasi WhatsApp pada hari yang sama. 


"Namun demikian, pada 6 Disember 2021 pihak Sandro telah mengemukakan tawaran balas kepada SUFC dan menyatakan gaji baharu yang diinginkan beliau.

"Pihak SUFC di dalam surat tersebut perlu menyatakan minat atau hasrat secara bertulis dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat tersebut, jika tidak, SUFC dianggap tidak berminat terhadap tawaran balas tersebut.

"Pihak SUFC sekali lagi menekankan bahawa tidak pernah bersetuju dan membuat tawaran balas lanjutan kepada beliau dan selepas dari 7 hari masa yang ditetapkan tiada sebarang maklum balas rasmi daripada kedua-dua pihak," kata kelab itu.

Oleh demikian, SUFC telah menyerahkan kepada Ketua Jurulatih SUFC, E.Elavarasan yang diperbaharui kontrak beliau bermula 1 Januari 2022 untuk melakukan tugasan beliau dalam pemilihan pemain.

SUFC menegaskan tiada campur tangan dalam pemilihan pemain melainkan perihal gaji pemain yang dipilih oleh jurulatih.
 


"Pihak sufc tidak pernah menjemput dan membuat sebarang aturan beliau ke Malaysia. Akan tetapi SUFC juga tidak pernah menghalang beliau ke Malaysia bagi apa-apa urusan peribadi beliau," ujarnya.

Oleh itu, SUFC berharap perkara ini tidak berlanjutan yang mana boleh menjejaskan persiapan pasukan.

"SUFC mengucapkan terima kasih kepada sandro di atas sumbangan beliau kepada pasukan pada musim 2021 dan selamat maju jaya bagi karier beliau di dalam sukan bola sepak," tambahnya.

Sehubungan itu, SUFC menafikan dakwaan pihak Astro melalui rancangan Nadi Arena pada 8 Februari 2022 yang mengatakan SUFC "menjanjikan" kontrak musim 2022 kepada Sandro sedangkan sandro sendiri tidak menyatakan sedemikian.

Astro menerusi portal beritanya, Stadium Astro menyiarkan laporan bertajuk "Sandro da Silva pulang ke Brazil dengan penuh hampa" mendakwa pemain import itu dijanjikan dengan sekeping kontrak, namun berubah dalam sekelip mata.

Dalam laporan itu, Stadium Astro dipetik berkata, itulah yang berlaku kepada pemain import Sarawak United, Sandro da Silva, yang tiba di Malaysia pada 22 Januari lalu untuk menyambung kesepakatan dengan pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, dia kemudian menerima perkhabaran buruk bahawa namanya tiada dalam perancangan Sarawak United bagi saingan Liga Malaysia musim ini atas keputusan ketua jurulatih.

Sementara itu, rata-rata peminat bola sepak tempatan menggesa pengurusan SUFC melawan tuduhan yang dilemparkan dengan mengheret pihak Astro ke muka keadilan kerana telah memburukkan imej SUFC termasuk Sarawak di mata dunia.

Antara komen peminat yang dipetik:

"Kalo btol kenyataan tok, ambik tindakan sewajarnya pada Astro Arena sbb mengeluarkan kenyataan yg boleh menjatuhkan imej & kredibeliti SUFC… jgn dibiar… mun sik sesuka hati jak wartawan mengeluarkn statement".

"Pengurusan kena fight benda ni, minta wartawan atau pengurusan astro arena buat permohonan maaf atau tindakan saman jika benda ni yang sebenarnya terjadi kerana di ruangan komen astro arena semua komen kecaman kepada sarawak united".

"Jika dipihak yg benar2 jgn takut saman astro arena".
Next Post Previous Post