Skuad badminton lelaki akhiri dominasi Indonesia sebagai juara Asia
Gambar kredit BAM |
Apa yang lebih menarik lagi, skuad utama malaysia yang mengambil kesempatan ke atas pasukan kedua Indonesia, menggagalkan harapan musuh tradisi itu untuk memenangi kejohanan itu buat kali keempat berturut-turut, sejak kejohanan itu bermula pada 2016.
Bagaimanapun juara All England Lee Zii Jia bermula agak perlahan dan terpaksa berhempas pulas bagi mengelakkan Chico Aura Dwi Wardoyo dari memenangi set pembukaan 21-14.
Bagaimanapun bangkit dengan sokongan penuh daripada 200 penyokong tempatan di Pusat Konvesyen Setia City di sini, Zii Jia meningkatkan permainan dan serangannya, yang menyaksikan pemain nombor tujuh dunia itu berjaya mendahului pemain berusia 23 tahun dari Indonesia itu 16-6, sebelum menang set kedua dengan 21-12.
Set ketiga memperlihatkan keupayaan sebenar Zii Jia, dan berjaya mengalahkan Chico 21-10, dan memberikan Malaysia mata pertama.
Aksi seterusnya menyaksikan pemenang pingat gangsa beregu lelaki Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik melebarkan kedudukan kepada 2-0, dengan mengalahkan pasangan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dalam masa 56 minit.
Pasangan nombor tujuh dunia Aaron-Wooi Yik juga bermula di bawah prestasi sebenar dan tewas 17-21, sebelum pasangan itu meningkatkan permainan dan mengalahkan lawan yang berkedudukan ke-28 dunia, 21-13, sebelum menangi set ketiga yang penuh mendebarkan dengan mata 21-18.
Pemain muda meningkat naik Ng Tze Yong, pula berjaya mengembirakan peminat Malaysia dengan memberikan mata kemenangan 3-0.
Tze Yong, 21, yang berkedudukan ke-47 dunia menunjukkan prestasi baik dengan memenangi kedua-dua set dalam perlawanan menentang pemain ke-90 dunia Leonardo Imanuel Rumbay.
Selepas menang set pertama dengan 21-14, Tze Yong dengan smesynya yang kuat berjaya menamatkan permainan dengan 21-15, sekali gus menjadikan Malaysia selaku juara Asia yang baharu.
Penonton bersorak kegembiraan. Pasukan negara terus memasuki gelanggang untuk meraikan kemenangan bersejarah itu.
Kemenangan itu juga membolehkan Malaysia membalas dendam ke atas kekalahan mereka kepada Indonesia 1-3 pada edisi 2020 di Manila Filipina.
Walaupun tewas kepada Malaysia hari ini, Indonesia masih boleh tersenyum kerana pasukan wanita mereka, berjaya menjuarai kategori wanita di BATC buat pertama kalinya, selepas mengalahkan juara bertahan Korea Selatan 3-1.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang mencemar duli berangkat menonton ke perlawanan akhir lelaki BATC 2022, berkenan menyempurnakan upacara penyampaian trofi kepada Malaysia, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
-- BERNAMA