SKMM bina menara tingkat liputan di Pakan


PUTRAJAYA—Sebuah menara komunikasi baharu akan dibina bagi mengatasi masalah capaian internet di Rumah Panjang Suing di Teberu, Ulu Kemalih, Pakan di Sarawak, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM dalam kenyataan malam tadi memaklumkan sebuah menara baharu telah dirancang untuk dibina pada tahun ini oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) untuk memberikan liputan 4G di kawasan tersebut.

Sebelum ini, tular mengenai seorang pemuda Frank Steward Panting Sa, 19 dari Pakan, Sarawak yang terpaksa mendaki Bukit Kelingkang selama dua jam untuk mendapatkan kelajuan internet bagi menghadiri temu duga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak secara dalam talian.

SKMM mengambil maklum dan bersimpati dengan kesusahan dihadapi oleh pelajar itu.

Menurut SKMM, berdasarkan maklumat diterima, perkhidmatan internet sedia ada di rumah panjang berkenaan adalah di bawah projek Sarawak Linking Urban Rural and Nation (SALURAN) yang juga inisiatif daripada kerajaan Sarawak melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

SALURAN adalah perkhidmatan internet yang menggunakan teknologi satelit dan mampu memberikan purata kelajuan sehingga 25Mbps dan perkhidmatan tersebut disediakan sebagai langkah interim bagi memberikan liputan internet kepada penduduk di rumah panjang Suing dan sekitarnya, katanya.

Sehubungan itu, SKMM akan bekerjasama dengan SMA untuk mengenal pasti kaedah capaian lebih sesuai bagi memastikan tahap kualiti pengalaman ke atas perkhidmatan internet SALURAN sedia ada di rumah panjang Suing.

“Langkah tersebut penting bagi membolehkan para penduduk setempat termasuk pelajar yang terkesan itu dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran selain melaksanakan urusan seharian dengan lancar,” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post