Singapura catat 26,032 kes harian baharu
Gambar hiasan |
SINGAPURA— Singapura mencatatkan 26,032 kes harian baharu
COVID-19 pada Selasa (22 Feb), tertinggi dicatatkan sejak pandemik itu melanda
seluruh negara pada Januari 2020.
Republik itu juga melaporkan empat kematian, menurut
data Kementerian Kesihatan yang disiarkan di laman webnya lewat Selasa.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di pulau itu
sebanyak 622,293 kes dan 956 kematian.
Dalam satu kenyataan berasingan, kementerian meminta
kerjasama orang ramai memandangkan hospital, poliklinik dan klinik Pengamal
Perubatan Am (GP) kini menjadi amat sibuk, dan petugas kesihatan menghadapi
bebanan teruk.
"Ia mungkin mengambil masa beberapa minggu sebelum
gelombang jangkitan memuncak dan kembali reda," menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian keadaan itu menyebabkan timbul dua
masalah dengan satu daripadanya adalah peningkatan permintaan katil di
hospital, kebanyakannya untuk rawatan pesakit mempunyai penyakit kronik.
Ini turut menyebabkan peningkatan kapasiti di hospital awam,
menempatkan pesakit ke hospital swasta, dan menambah petugas kesihatan
dengan SG Healthcare Corps serta medik Angkatan Tentera Singapura (SAF).
"Kami juga menyesuaikan lagi protokol kesihatan
untuk membolehkan lebih ramai pesakit menjalani pemulihan di rumah,"
menurut kenyataan itu.
MOH menggesa majikan tidak memaksa pekerja memberikan
sijil perubatan atau memo pemulihan jika mereka disahkan positif COVID-19.
Pekerja yang berisiko rendah dan mempunyai simptom ringan
atau sihat dari segi fizikal digalakkan menjalani kuarantin di rumah tanpa
perlu ke klinik atau hospital.
Kementerian juga menggalakkan individu supaya tidak
tergesa-gesa ke jabatan kecemasan (ED) kecuali jika benar-benar perlu.
Bagi membantu mengurangkan jumlah pesakit di klinik swasta,
kementerian akan melanjutkan waktu operasi Klinik Kesediaan Kesihatan Awam
(PHPC) berkuat kuasa 25 Feb hingga 10 Mac.
Sementara itu, mulai 26 Feb, Pusat Ujian Gabungan
(CTC) akan menyediakan akses kepada perundingan teleperubatan kepada ahli
yang bergejala pada hujung minggu.
Individu juga boleh menghubungi penyedia teleperubatan yang
diluluskan KKM untuk berunding dengan doktor secara maya.
Senarai klinik yang menyediakan perkhidmatan itu boleh
didapati menerusi laman sesawang flu.gowhere.gov.sg.
-- BERNAMA