Sindiket dadah didalangi warga tempatan tumpas
Empat individu tempatan diberkas bersama dadah jenis syabu di sempadan Indonesia- Malaysia hari ini. Gambar kredit Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen |
KUCHING— Empat individu tempatan diberkas bersama dadah
jenis syabu di Sektor Pos Imbangan Ladang Dafa, 200 meter dari sempadan
Indonesia-Malaysia pada awal pagi tadi.
Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen menerusi
kenyataan hari ini berkata, keempat-empat suspek berusia antara 20 hingga 42
tahun itu ditangkap sekitar jam 6.50 pagi oleh anggota yang sedang melaksanakan
penugasan Serkap.
"Anggota bersama satu seksyen telah mengesan kehadiran
sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mencurigakan dari arah sempadan
Malaysia-Indonesia.
"Hasil pemeriksaan mendapati empat individu lelaki
warga tempatan bersama dua paket kecil disyaki dadah jenis syabu
(Methamphetamine) serta barangan untuk menghisap dadah," katanya.
Jelasnya lagi, pemeriksaan lanjut turut mendapati individu
tersebut menjual dadah kepada warga Indonesia dan pekerja ladang.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah
RM70,300 melibatkan kenderaan pacuan empat roda serta dua paket kecik syabu
(Methamphetamine)," tambahnya.
Tegasnya, kesemua suspek bersama barang rampasan diserahkan
kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk siasatan selanjutnya.
"Tentera darat terus kekal siaga dan komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19," ujarnya.