Sibu mahu penerbangan terus dari Singapura


SIBU— Selepas Miri, Sibu pula menekankan sudah sampai masanya mereka mempunyai penerbangan terus dari Singapura ke bandar itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan Michael Tiang berkata, penerbangan terus itu akan membuka wilayah tengah sebagai pintu masuk kepada pasaran antarabangsa melalui Singapura.

“Penerbangan terus antara Singapura dan Sibu ini sudah lama ditunggu-tunggu. Ia bukan hanya untuk kebaikan ekonomi di sini malah bandar-bandar di sepanjang lembah Sungai Rejang.”

“Lapangan Terbang Sibu telah lama menjadi pintu masuk penerbangan domestik ke bandar utama seperti Kanowit, Kapit, Sarikei.
Penerbangan terus ini akan membantu kami mempromosi industri pelancongan dan memacu ekonomi tempatan di sini,” katanya seperti dipetik The Borneo Post.

Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengulas pengumuman Scoot Tigerair Pte Ltd (Scoot) yang mengesahkan penerbangan terus bagi laluan Singapura - Miri.

Pada Khamis (3 Feb) Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin dalam kenyataan memberitahu pihaknya menerima surat pengesahan daripada Scoot Tigerair, menyatakan syarikat itu akan melakukan penerbangan ke Miri dengan kekerapan dua kali seminggu bermula 23 Februari.

Sementara itu Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Romeo Christopher Tegong berkata beliau sebelum ini sudah beberapa kali mengutarakan permohonan penerbangan terus dari Singapura, Kota Kinabalu atau dari China bagi merancakkan ekonomi di Sibu.

“Sibu begitu kaya dengan produk eko pelancongan selain makanan tempatan yang tidak terdapat di China dan Singapura,” katanya.

Bagi usahawan tempatan, Julius Enchana, penerbangan terus Sibu - Singapura akan memudahkan rakyat tempatan yang bekerja di sana untuk pulang ke kampung halaman di sini.

Katanya, ini sudah tentu memudahkan penduduk Sibu selain menjimatkan kos.
Next Post Previous Post