Sembilan individu ditahan leka berjudi

Foto kredit Fb Polis Melaka

MELAKA— Polis menahan sembilan individu termasuk seorang wanita ketika sedang leka bermain judi 'pai kow' di kebun kelapa sawit di Kampung Man Lok, Kuala Sungai Baru di sini, dalam serbuan Op Dadu, Sabtu lepas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri ACP Lim Meng Seah berkata kesemua mereka berusia antara 29 hingga 66 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

"Siasatan awal mendapati mereka dipercayai aktif berjudi sejak seminggu lalu di kebun tersebut dan menjalankan kegiatan itu bermula pukul 6 petang hingga tengah malam untuk mengelak dihidu pihak berkuasa.

"Penganjur seorang lelaki berusia 41 tahun turut menawarkan wang taruhan antara RM2,000 hingga RM20,000 kepada pemain dan dipercayai mendapat keuntungan kira-kira RM40,000 sehari," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di IPK Melaka di sini hari ini.


Lim berkata penganjur yang juga pengusaha kelapa sawit, dipercayai menghebahkan kegiatan itu kepada kenalannya yang kebanyakannya pengusaha sektor perladangan itu.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM104,578 selain elbagai peralatan untuk berjudi antaranya papan kayu, kerusi plastik, tiga lampu dan dua khemah, selain 32 batu pai kow, dua dadu dan 115 keping cip.

Sementara itu, Lim berkata polis turut menjalankan dua serbuan judi tempat bebas sepanjang Op Tahun Baharu Cina bermula 25 Jan hingga hari ini, melibatkan tangkapan 17 individu berumur 25 hingga 67 tahun.

"Kesemua mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi enam bulan dan denda maksimum RM5,000," katanya.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 78 serbuan telah dilaksanakan membabitkan 49 kegiatan judi dalam talian, 27 judi loteri awam tanpa lesen dan dua judi tempat bebas dengan penahanan 91 individu serta rampasan 48 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM114,689.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post