Sarawak tiada cadangan naikkan tarif bekalan air luar bandar

Datuk Julaihi Narawi semasa lawatan kerja ke JBALB (dua kanan)-Foto Ihsan PBB Pantai Damai

KUCHING— Kerajaan Sarawak tidak bercadang untuk menaikkan harga air bersih terawat yang dibekalkan ke kawasan luar bandar negeri ini biarpun kos pengeluarannya telah meningkat, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi hari ini.


Menurutnya kos pengeluaran air bersih yang dicatatkan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak telah meningkat dari RM1.28 setiap satu meter padu pada 2020 kepada RM1.58 pada tahun lepas namun pengguna hanya dikenakan bayaran 44 sen untuk setiap satu meter padu yang digunakan.

“Bakinya ditanggung sebagai subsidi yang diberikan oleh kerajaan negeri. Bukan setakat itu, kerajaan Sarawak melalui pakej Bantuan Khas SayangKu Sarawak (BKSS) pun ada memberikan diskaun (ke atas bil air pengguna)," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat JBALB Sarawak, di sini, hari ini, beliau berkata secara puratanya kerajaan Sarawak memberi subsidi RM150 juta setahun atau RM400,000 sehari bagi mengekalkan harga bekalan air bersih kepada pengguna di luar bandar.

"Kerajaan Sarawak amat  prihatin tentang perlunya bekalan air bersih dan terawat itu sampai kepada pengguna tetapi pada harga berpatutan," katanya.

Julaihi berkata antara cabaran terbaharu membekalkan air bersih kepada penduduk negeri ini adalah kekurangan tenaga kerja bagi menyiapkan projek bekalan air seperti dijadualkan.

"Kalau di wilayah selatan (Sarawak), kerja-kerja di tapak lapangan tetap berjalan walaupun kontraktor mengalami kekurangan tenaga pekerja," katanya.

Ini termasuk projek bekalan air di Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan dan Sebuyau yang masih berjalan dan ada yang hampir siap.

Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM4 bilion bagi melaksanakan 328 Projek Rakyat Bekalan Air di seluruh Sarawak tahun dan setakat ini, 187 daripada projek terbabit yang bernilai RM625 juta sudah disiapkan.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post