Sabah terokai kerjasama baru dengan Sarawak


KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah  mahu kukuhkan hubungan erat sedia ada dengan Sarawak sekaligus menerokai bidang kerjasama baharu demi kebaikan kedua-dua negeri, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai banyak persamaan dari segi budaya, sejarah dan perjuangan. 
“Kami telah membincangkan banyak perkara bagi memperkukuhkan lagi hubungan erat sedia ada dengan Sarawak sekali gus meneroka bidang kerjasama baharu antara kedua-dua negeri Borneo sebagai rakan wilayah dalam Persekutuan Malaysia.”

“Oleh itu, terdapat banyak sinergi untuk dimanfaatkan untuk kebaikan kita bersama. Kita sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi mempastikan hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak terpelihara selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi beliau pada Isnin (31 Januari).
Kenyataan itu adalah susulan pertemuan beliau dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg sempena lawatan rasmi sulung beliau ke Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.

Dalam pertemuan itu yang turut dihadiri anggota kabinet negeri Sarawak, Abang Johari turut berkongsi pandangan berkaitan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, keperluan untuk kestabilan politik, hak Sarawak dan pendirian bersama yang boleh diambil oleh Sarawak dan Sabah dalam mendapatkan hak negeri.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Abang Johari atas kejayaan mendapatkan mandat untuk terus menerajui negeri ini.

Turut mengiringi Hajiji dalam lawatannya ialah tiga timbalannya, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam; serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Kadzim Yahya; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.
Next Post Previous Post