Sabah laksanakan kad warga asing
Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah (JKPWAS-INDUK) Bilangan 1 Tahun 2022 bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, di sini hari ini Gambar kredit FB Hajiji Haji Noor |
PUTRAJAYA— Kad warga asing bakal diwujudkan sebagai dokumen pengenalan diri untuk warga asing yang tinggal lama di Sabah termasuk kanak-kanak, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menyifatkan cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan
Sabah sebagai baik, Hamzah berkata kad warga asing itu membolehkan pihak
berkuasa mengenal pasti bilangan serta keberadaan warga asing di Sabah.
“Masalah di Sabah begitu sulit. Mereka (warga asing) ini
telah tinggal lama contohnya generasi kedua atau ketiga dan kita tahu mereka
ini warga asing dan tiada dokumen langsung.
“Oleh itu, kita ingin selaraskan dan kita beri kad warga
asing. Apa yang penting adalah keberadaan sesiapa sahaja dalam negara ini,
(mereka) perlu mempunyai dokumen dan identiti kita tahu mereka adalah warga
asing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas
mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah
(JKPWAS-INDUK) Bilangan 1 Tahun 2022 bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri
Hajiji Noor, di sini hari ini.
Ditanya jumlah warga asing yang akan diberikan kad
berkenaan, Hamzah berkata pendataan akan dilaksanakan bagi mengenal pasti
jumlah warga asing yang ada di Sabah.
“Kad warga asing mungkin dapat dalam masa tiga bulan lagi.
Kita berikan adalah kad warga asing bukan kad warganegara… jelas tertera dia
warga asing di kad tersebut,” katanya.
Beliau berkata apabila mereka dikenal pasti sebagai warga
asing, mereka mungkin boleh digunakan sebagai tenaga kerja dan diberikan kad
pekerja.
“Kita lakukan ini bermaksud ada sikap perikemanusiaan dan
mereka juga warga dunia, sebagai warga dunia kita harus memberi mereka
pengenalan,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah berkata mesyuarat JKPWAS-INDUK hari
ini bersetuju supaya pelaksanaan penguatkuasaan melalui operasi bersepadu
diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negeri Sabah diteruskan bagi membanteras
kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah.
Selain itu, katanya cadangan penempatan semula masyarakat
Pala’u akan diteliti lebih lanjut di peringkat pegawai dari aspek dasar dan
perundangan melalui sebuah jawatankuasa kerja.
Hamzah berkata mesyuarat JKPWAS-INDUK juga bersetuju
mempertimbangkan kemudahan khusus untuk Sabah bagi memastikan pembangunan di
negeri itu tidak terjejas dan terus pesat membangun.
Berhubung isu pendaftaran lewat kelahiran di Sabah, Hamzah
berkata pindaan Ordinan Kelahiran dan Kematian di Sabah atau Cap. 123 sedang
diteliti di peringkat akhir untuk mempertimbangkan tempoh pendaftaran kelahiran
dari 42 kepada 90 hari.
“Isu kelewatan pengusiran tahanan imigresen di depot-depot
imigresen di Sabah pula sedang diteliti dan akan terus dirunding bersama
kedutaan berkenaan,” katanya.
-- BERNAMA