Rugi RM4,530 angkara Love Scam
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, dalam kejadian pada 24 Januari lalu, mangsa berusia 22 tahun itu, mendakwa berkenalan di laman media sosial berkenaan dengan seorang lelaki yang mengaku tinggal di United Kingdom.
“Selepas beberapa hari berkenalan, suspek memperdaya mangsa dengan kata-kata manis serta memaklumkan telah menghantar hadiah kepada mangsa tetapi mangsa menolak menerimanya.”
“Mangsa juga percaya janji lelaki itu yang menawarkan mahu menghantar wang tunai berjumlah AS30,000 (RM125,586) sebagai tanda menghargai perhubungan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, antara 27 Januari hingga 4 Februari tahun ini, mangsa dihubungi seseorang individu lain yang mengaku dari sebuah bank tempatan.
Menurut individu itu, mangsa perlu membuat bayaran pelepasan untuk membolehkan wang tersebut masuk ke dalam akaun banknya.
“Wanita itu yang teruja menerima wang sebanyak itu telah membuat enam kali transaksi ke tiga akaun bank membabitkan jumlah RM4,530. Dia menyedari dirinya tertipu selepas suspek terus menerus meminta bayaran. Mangsa kemudian membuat laporan polis hari ini,” katanya.
Sementara itu, polis mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan perkenalan atau percintaan di alam maya terutama mereka yang berjanji memberi hadiah, bungkusan dan wang tunai dari luar negara.