Rokok dan Bir Pelbagai Jenama Tanpa Cukai Bernilai RM225, 959 Dirampas

TUMPAS: Rokok dan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai yang dirampas di sebuah premis di Miri pada tengah hari Selasa.

MIRI: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 Miri berjaya merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai bernilai RM225, 959 dalam serbuan yang dijalankan ke atas sebuah premis di sini, tengah hari Selasa.

Jurucakap PGA Miri mengesahkan hari ini, berdasarkan maklumat serta risikan, pasukannya menjalankan serbuan serta pemeriksaan ke atas premis terbabit dan menjumpai sejumlah rokok kretek dan putih termasuk minuman keras yang diletakkan dalam premis.


Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan menemukan 762 karton rokok putih yang dianggarkan bernilai RM114, 300 dan 320 karton rokok kretek bernilai RM42, 804.

"Penemuan kepada rokok putih dan rokok kretek ini menjurus kepada penemuan sebanyak 4,419 tin dan 123 botol minuman keras jenis bir yang dianggarkan bernilai RM31, 235," jelas beliau.


Beliau berkata, hasil semakan yang dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek gagal mengemukakan dokumen pemilikan yang sah ke atas rokok dan minuman keras disyaki tanpa cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Serbuan yang dijalankan ini turut menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan dalam premis berkenaan yang merupakan penjaga premis berkenaan.


Modus operandi yang digunakan ialah suspek mengaku sebagai penjaga premis yang mana penghantaran baru stok rokok dan bir adalah bergantung kepada permintaan dan jumlah simpanan terkini.

Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Next Post Previous Post