Rizab antarabangsa BNM menurun


KUALA LUMPUR—Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah US$116.1 bilion pada 31 Jan, 2022, berkurangan daripada US$116.2 bilion pada pertengahan bulan lepas.

 

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata paras rizab tersebut memadai untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

 

BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (US$103.4 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.4 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (US$6.0 bilion), emas (US$2.3 bilion) dan aset rizab lain (US$3.0 bilion).

 

Katanya aset-aset itu terdiri daripada emas, pertukaran mata wang asing dan rizab lain termasuk SDR (RM483.68 bilion), Kertas Kerajaan Malaysia (RM12.20 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM801.77 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM23.10 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion), serta aset-aset lain (RM17.21 bilion).

 

Menurut BNM, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar RM100 juta, rizab (RM178.42 bilion), mata wang dalam edaran (RM155.78 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM151.22 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM8.28 bilion), lain-lain deposit (RM5.63 bilion), kertas Bank Negara (RM7.27 bilion), peruntukan SDR (RM28.14 bilion) dan lain-lain liabiliti (RM6.29 bilion).


-- BERNAMA

Next Post Previous Post