Remaja bantu ayah daratkan dua ekor pari gergasi
Masa remaja dari Kampung Seberang Kedai ini banyak diluangkan di laut membantu ayahnya menangkap ikan, sebelum dijual di bangunan Tamu Limbang.
Baru-baru ini beliau dan ayahnya berjaya menundukkan dua ekor pari seberat 110 kilogram hasil tangkapan sendiri sebelum dijual di tamu ikan Limbang.
“Seronok melihat hasil tangkapan sendiri, walaupun berat, saya dan ayah mengerah tenaga untuk menaikkan ikan pari, inilah rezeki dari laut,”katanya kepada Borneo Network hari ini.
Mohd Erwan menjelaskan beliau tidak kisah ‘bermandi’ hanyir ikan untuk mendapatkan wang saku bagi membantu menyara ekonomi keluarga nelayan itu.
Malah katanya hobi ke laut ibarat kuah yang tumpah ke nasi, kerana mewarisi minat menangkap ikan daripada bapanya sejak dibangku sekolah rendah.
Mohd Erwan menjelaskan beliau tidak kisah ‘bermandi’ hanyir ikan untuk mendapatkan wang saku bagi membantu menyara ekonomi keluarga nelayan itu.
Malah katanya hobi ke laut ibarat kuah yang tumpah ke nasi, kerana mewarisi minat menangkap ikan daripada bapanya sejak dibangku sekolah rendah.
“Jika cuti sekolah,saya lebih gemar turun ke laut membantu ayah 'memburu' ikan di laut khususnya spesies yang digemari, pari,”katanya.
Jelasnya meskipun bertubuh kecil, beliau pernah ‘menundukkan' ikan pari seberat 75 kilogram bersama ayahnya ketika turun ke laut tiga tahun yang lalu.
Anak bongsu daripada dua adik beradik ini berkata beliau mewarisi bakat ayahnya sebagai nelayan dan penjual ikan berbanding abangnya, 18 tahun yang mempunyai hobi dan minat berbeza.
Mohd Erwan juga merupakan peniaga ikan paling muda di pasar ikan, Bangunan Tamu Limbang.
Bangun seawal jam 5 pagi dan turun berniaga ikan jam 6 pagi semasa cuti sekolah ini merupakan rutin hariannya demi membantu ayahnya yang juga seorang peniaga ikan dan nelayan untuk mencari rezeki buat keluarga.
Selain pandai mencuri hati pelanggan dengan senyuman manisnya tatkala pelanggan tiba, beliau juga mempunyai kemahiran menyiang ikan sama ada ikan bersaiz besar dan kecil.
Dengan upah RM25 sehari daripada ayahnya, Mohd Erwan berkata cuti sekolah khususnya minggu penggiliran sekolah pada waktu ini dimanfaatkan untuk membantu ayahnya berniaga ikan di Bangunan Tamu Limbang.