Rang undang-undang kemas kini senarai pribumi diluluskan

Datuk Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali
Gambar kredit Jiwa Bakti

KUCHING, 15 Feb (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Tafsiran (Pindaan) 2022 yang antara lain mengemas kini senarai kaum pribumi di negeri itu.

Dibentangkan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali berkata rang undang-undang itu mendapat sokongan ahli dewan daripada kedua-dua pihak.

Beliau berkata pindaan itu dilakukan secara asasnya bagi menambah 12 kaum tambahan dalam jadual Ordinan Tafsiran dan akan memberikan kesan kepada kepada pindaan baru-baru ini pada Klausa (6)(a) Artikel 161A Perlembagaan Persekutuan mengenai kaum pribumi Sarawak.

Senarai 12 tambahan kaum termasuk dalam cadangan pindaan adalah Bagatan, Bakong, Bemali, Berawan, Dali, Lakiput, Jatti Miriek, Narom, Sa’ban, Tatau, Tring dan Vaie.

“Juga di bawah cadangan pindaan ini, seorang anak dari perkahwinan campuran mungkin boleh di anggap sebagai pribumi jika hanya salah seorang daripada ibubapanya adalah pribumi, tertakluk kepada syarat dan keadaan dan keperluan yang akan dikenakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Dengan pindaan ini, seorang anak akan dianggap sebagai pribumi selagi salah seorang dari ibu bapanya seorang pribumi. Tiada lagi keperluan kedua-dua ibu bapa perlu seorang pribumi Sarawak, seperti sebelum ini,” katanya.

Baru Bian (PSB-Ba’Kelalan) yang membahaskan Rang Undang-Undang itu berkata pindaan bagi mengemas kini senarai kaum pribumi ke Sarawak adalah tempat masa dan dialu-alukan oleh semua rakyat Sarawak, terutamanya mereka yang datang daripada komuniti pribumi yang tidak termasuk dalam senarai lama.

“Saya percaya, seperti juga semua anak negeri Sarawak yang lain, semua anak hasil perkahwinan campur antara pribumi dan bukan pribumi harus diiktiraf sebagai anak pribumi. Jika ini tidak dilakukan, ramai rakyat Sarawak akan kehilangan status pribumi mereka. Lama-kelamaan, tiada lagi pribumi tinggal di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Gerawat Gala (GPS-Mulu) berkata pindaan itu dapat menangani rungutan dan memberi laluan kepada anak-anak hasil perkahwinan campur untuk diiktiraf sebagai pribumi Sarawak.

Pindaan ini dialu-alukan oleh anak-anak hasil perkahwinan campur yang merasa kehilangan warisan asli mereka. Ramai anak-anak hasil perkahwinan campur berbangga dan sangat menghargai warisan, adat resam, tradisi dan keturunan mereka dan mereka diterima sebagai pribumi oleh masyarakat mereka,” tambahnya.
Persidangan Dewan Undangan Negeri ditangguhkan ke esok.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post