Rampas dadah RM122,000, dua pengedar ditahan

Mior Faridalatrash Wahid menunjukkan dadah yang di rampas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Taiping.- Wat Kamal Abas

TAIPING—Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas dadah jenis heroin serta methamphetamine bernilai kira-kira RM122,000 dalam serbuan di sebuah premis di Medan Pewira, Kamunting di sini, Khamis lepas.


Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, pada pukul 9.30 malam.

“Suspek pertama merupakan penganggur berusia 24 tahun, ditahan di dalam premis berkenaan bersama enam bungkusan plastik disyaki dadah jenis heroin dan satu bungkusan plastik dadah jenis methamphetamine. 

“Tindakan susulan dibuat dan polis berjaya menahan seorang lagi lelaki berumur 29 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori, yang ketika itu berada di dalam sebuah kereta di hadapan premis itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini, hari ini.

Beliau berkata turut dirampas sebuah motosikal dan sebuah kereta, dua utas rantai emas serta dua telefon bimbit, dengan nilai sitaan kira-kira RM45,000.

Katanya kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah itu juga didapati positif dadah, dan mereka direman hingga 17 Feb ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Sementara itu Mior Faridalathrash berkata polis tidak pernah memberikan kelulusan kepada penganjuran program Santai Anak Utara (SAU) di Bukit Merah Laketown Resort di sini, pada Sabtu ini (19 Feb).

“Permohonan dibuat kepada Pengarah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) negeri, tiada kelulusan daripada pihak polis. Saya difahamkan ia telah diluluskan sebelum ini.

“Oleh kerana trend COVID-19 meningkat ketika ini, saya difahamkan Pengarah MKN akan mengkaji semula sama ada untuk membenarkan program ini dijalankan atau sebaliknya. 
Difahamkan program pada hari Sabtu ini akan dihadiri puluhan ribu orang,” katanya.

SAU merupakan acara yang menghimpunkan anak muda bermotosikal dari negeri-negeri di sebelah utara negara.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post