Rakyat England cerita pengalaman lawat Borneo era 80-an

Trev Hayward membuat persembahan tarian Orang Ulu semasa melawat Taman Negara Gunung Mulu.

MIRI— Orang Borneo satu-satunya masyarakat yang suka menolong orang dan ceria, kata Trev Hayward.

Warga England berusia 69 tahun itu berkata, beliau sudah melawat lebih 70 negara namun pengalaman berada di kepulauan ini tiada tolok bandingnya.

Di sempadan antara Brunei dan Sarawak

“Saya kerap memberitahu orang ramai bahawa mereka harus melawat Sarawak. Negeri ini bukannya tempat biasa, banyak yang perlu dilalui di tempat yang yang mesra, selamat dan indah.”

“Selain itu, masih banyak kawasan di negeri ini belum dicemari arus kemodenan,” katanya ketika berkongsi pengalaman kepada Borneo Network melalui aplikasi Messenger.

Berasal dari Portsmouth di selatan England, Hayward pertama kali menjejak kaki di Borneo pada 1978 untuk bekerja di bahagian komunikasi satelit, Jabatan Telekom di Brunei.

Di dalam feri Kuala Baram 

Menurut Hayward, beliau tinggal di sebuah kampung di Telisai, yang terletak di antara Kuala Belait dan Bandar Seri Begawan. Namun pada 1988, beliau meninggalkan negara itu dan kembali ke England.

Selepas itu, beliau bertugas di Belanda, Jerman, Kenya, Sweden, India, Singapura, Switzerland, Ghana, Azerbaijan dan Filipina.

Trev Hayward bersama rakan-rakan menunggu perahu untuk ke seberang Taman Negara Gua Niah.

Hampir 44 tahun berlalu, pengalaman mengembara di sini masih mekar dalam ingatan Hayward. Menariknya, kenangan berharga itu telah dirakamkan melalui lensa kamera yang kemudian dimuat naik di Facebook miliknya.

Sepanjang 10 tahun bekerja di Brunei, beliau banyak mengembara ke banyak tempat sehingga ke Kuching dan Sabah.

Feri di Kuala Belait

“Malah saya antara pelancong pertama yang melawat Mulu pada masa itu. Kami mengambil masa seharian suntuk untuk sampai ke sana menggunakan tiga jenis perahu yang berbeza. Ada masanya kami terpaksa menolak perahu tersebut kerana airnya cetek.”

“Saya juga pernah beberapa kali ke Marudi, kadang-kadang berjalan kaki melalui hutan dari Brunei. Selain itu saya kerap ke Miri dan pernah beberapa kali sampai di Niah,” katanya.

Di atas bot ekpress di Marudi dan Long Lama

Beliau turut menyifatkan pengalaman memandu kereta di jalan yang belum berturap sehingga sampai di Kuching sekitar tahun 1983 dan 1984 satu pengembaraan yang hebat.

“Pemanduan ke Kuching antara pengalaman hebat, malangnya tiada gambar dalam simpanan. Saya melihat orang berjalan membawa senapang dan sumpit di kawasan antara Bintulu dan Sibu.”

Aktiviti menyumpit di Taman Negara Gunung Mulu.

“Pengalaman di Sibu pun menarik, saya seperti berada di China,” kata Hayward yang turut kerap pergi ke Sabah.

Katanya, kali terakhir beliau berada di sini ialah pada 2020 di Limbang.

“Borneo sudah banyak berubah namun orangnya tetap sama dari dulu hingga sekarang.”

Menggunakan perahu di Taman Negara Gunung Mulu

“Saya juga sudah lapan kali berulang-alik ke Brunei. Saya masih ramai kawan di sini, ada sebahagian daripada mereka yang pernah saya latih sudah bersara,” kata Hayward.

Malah anak bongsu perempuan beliau dilahirkan di Brunei.

Hayward juga memberitahu boleh bertutur sedikit dalam bahasa Melayu dan amat menggemari juadah tempatan seperti rendang, kari udang, mi, murtabak dan roti.

Bersama penduduk rumah panjang di Niah

“Kami sekeluarga sudah terbiasa dengan kehidupan di Brunei. Lazimnya bila ada saudara-mara datang, kami memasak dan makan ‘berkenduri seperti orang Brunei juga,” katanya yang turut berkongsi gambar masakan kari dalam kuali.

Namun Hayward turut melahirkan rasa sedih melihat terlalu banyak hutan di negara itu sudah diterokai untuk pembangunan yang tidak perlu.
Next Post Previous Post