Pusat R&D pertama bangunkan lada Sarawak -- Willie Mongin

Willie Mongin semasa meninjau Projek Stesen Penyelidikan Lapangan MPB di Semenggok, Kuching.
Gambar kredit : MPIC

KUCHING— Stesen Penyelidikan Lapangan, Lembaga Lada Malaysia (MPB) bernilai RM2.83 juta di Semenggok yang bertujuan meningkatkan aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) tanaman komoditi itu sudah disiapkan dan akan diserahkan kepada MPB bulan depan.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata pembinaan stesen penyelidikan itu bermula 13 Nov 2019 di atas tapak seluas satu ekar dan akan menjadi stesen pertama seumpamanya di Malaysia.

Bercakap pada sidang media selepas meninjau stesen penyelidikan itu hari ini, beliau berkata pembinaan stesen itu dibina di Sarawak kerana 98 peratus daripada penanaman komoditi itu dilaksanakan di negeri ini.

Katanya stesen terbabit bertujuan membangunkan infrastruktur bagi meningkatkan aktiviti ujian lapangan tanaman lada, selain membangunkan plot-plot ujian keberkesanan hasil pembangunan dan penyelidikan serta penyelenggaraan koleksi germplasma lada di negara ini.

"Mereka (penyelidik) juga akan mengunakan plot ini untuk membuat kajian terhadap tiang sokongan yang kita telah lancarkan beberapa bulan lalu dan menghasilkan varieti (lada) baharu yang lebih berdaya tahan,"  katanya.

Willie berkata kemudahan stesen terbabit merangkumi empat unit rumah hijau berkeluasan 158 meter (m) persegi setiap unit untuk kajian penyakit dan perosak, kultur tisu, pembiakbakaan dan agronomi lada, di samping bangsal tumbuhan berkeluasan 150m persegi untuk menyelenggara koleksi germplasma lada.

Turut disediakan dua plot ujian ladang melibatkan Plot Germplasma Lada dan Plot Ujian Ladang bagi menguji keberkesanan hasil penyelidikan dan pembangunan, lengkap dengan sistem perparitan, sistem saliran air kumbahan, jalan serta kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Dalam pada itu, beliau meluahkan kekecewaan dengan kelewatan penyiapan projek pembinaan bangunan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Industri Lada Negara (PILN) bersebelahan stesen terbabit bernilai RM40.1 juta dan telah meminta maklumat lanjut berhubung kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk projek berkenaan.

"Mungkin disebabkan COVID-19 sektor pembinaan tidak dibenarkan beroperasi atau mungkin mereka tiada tenaga kerja. Biarlah saya dan pasukan mendapatkan maklumatnya,” kata beliau mengenai projek itu yang sepatutnya disiapkan Disember 2020.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post