PPM kenal pasti lebih 50 ‘laluan tikus’ seludup warga asing

Gambar arkib

GEORGE TOWN—Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 mengenal pasti lebih 50 laluan tikus di sepanjang perairan Selangor hingga Perak yang menjadi lokasi pendaratan sindiket menyeludup masuk pendatang asing secara haram ke Malaysia.

Komander PPM Wilayah 1 ACP Shamsol Kassim berkata kawasan itu dijadikan laluan tikus oleh sindiket berikutan ia berdekatan dengan Indonesia dan hanya mengambil masa antara empat hingga lima jam untuk sampai dengan bot selain kedudukannya jauh dari pangkalan utama PPM.

"Kawasan PPM Wilayah 1 merangkumi perairan dari Langkawi, Kedah hingga ke Selangor dan hasil pemantauan kami mendapati laluan tikus yang menjadi pilihan sindiket tersebut ialah dari perairan Klang dan Sabak Bernam, Selangor hingga ke Hutan Melintang, Perak dengan pendaratan warga asing bermula dari 9 malam hingga 3 pagi.

"Sejak Januari hingga semalam, seorang warga tempatan dan 12 warga Indonesia yang juga ahli sindiket serta 188 migran warga Indonesia termasuk 42 wanita turut ditahan kerana cuba masuk ke negara ini secara haram. Semua mereka berusia 21 hingga 45 tahun," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan, sindiket itu membawa masuk warga asing menggunakan bot-bot nelayan yang telah diubah suai yang mampu memuatkan antara 100 hingga 200 pendatang asing dan setakat ini polis telah merampas sebanyak empat bot bernilai RM900,000 yang digunakan untuk kegiatan berkenaan.

Shamsol berkata setiap pendatang dikenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap perjalanan masuk ke Malaysia dan warga asing tersebut telah dijanjikan pekerjaan dalam bidang perladangan dan pembantu rumah.

Katanya siasatan pihaknya mendapati kemasukan warga asing secara haram ini mula meningkat selepas pembukaan semula sektor ekonomi terutama sektor perladangan yang memerlukan ramai pekerja dalam kalangan pekerja asing.

"Pihak PPM Wilayah 1 meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan di kawasan yang dikesan menjadi laluan tikus serta lokasi lain bagi mengekang kemasukan pendatang asing ke negara kita," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejak Januari hingga semalam pihaknya telah merampas 2.8 juta batang rokok pelbagai jenama dan 4,227 liter minuman keras tanpa cukai yang cuba diseludup ke negara ini bernilai RM3.036 juta dengan semuanya disiasat menurut Akta Kastam 1967.

"Kami turut menahan 12 lelaki termasuk tiga warga asing dan merampas dua bot, dua kereta, motosikal dan sebuah lori yang kesemuanya bernilai RM326,000," katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post