Polis tembak wanita lari dari sekatan jalan raya


KOTA KINABALU: Bimbang dicekup polis kerana di bawah pengaruh dadah, seorang wanita bertindak memecut kenderaan dalam cubaan melarikan diri daripada sekatan jalan raya di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.59 pagi, anggota polis melepaskan tembakan ke arah tayar kereta yang dipandu suspek ketika menyelamatkan diri daripada dirempuh.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kenderaannya dicuri oleh suspek.

“Polis peronda MPV Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan kedudukan kenderaan berkenaan di sekitar Tanjung Lipat.”

“Namun suspek wanita berumur 35 tahun itu bertindak melarikan diri walaupun sudah diarahkan berhenti menggunakan pembesar suara oleh pasukan polis,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.


Beliau menambah, anggota trafik yang membantu operasi itu dengan membuat sekatan di simpang masuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut dirempuh oleh suspek yang merikan diri menuju ke Jalan Sepanggar.

Katanya, suspek juga menggunakan lorong kecemasan selepas jalan berlaku kesesakkan di hadapan lampu isyarat Tebobon, Jalan Sepanggar, Menggatal.

“Bagaimanapun suspek menemui jalan buntu selepas tersekat akibat terlalu banyak kereta sehingga tidak dapat bergerak di kawasan tersebut.”

“Suspek sekali lagi bertindak nekad mengundurkan keretanya dengan laju dengan niat untuk melarikan diri sehingga anggota polis cedera ditangan akibat dilanggar.”


Katanya, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta berkenaan bagi mengelak suspek terus bertindak agresif dan melindungi diri.

“Anggota polis turut memecahkan tingkap sebelah kiri sebelum berjaya menahan suspek,” katanya sambil menambah suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Hasil siasatan suspek turut mempunyai kesalahan lampau dan dipercayai dibawah pengaruh dadah semasa kejadian.
Next Post Previous Post