PM arah BNM nilai semula model pembiayaan perumahan

Gambar kredit FB Ismail Sabri

KUALA LUMPUR— Bank Negara perlu melihat kembali model pembiayaan perumahan untuk memudahkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan B40 dan M40 selaras dengan matlamat Satu Keluarga Satu Rumah, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Perdana Menteri berkata perkara itu antara yang dicapai pada mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikannya bagi membincangkan dan menyelaras hala tuju perancangan, penyelarasan serta pemantauan bagi penyediaan rumah mampu milik (RMM) di seluruh negara selaras dengan matlamat Satu Keluarga Satu Rumah, hari ini.

“Ini bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah PPR (Program Perumahan Rakyat) dan rumah mampu milik. Fokus diberi untuk pembelian terus dan ‘rent to own’ (sewa untuk milik),” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata selain itu mesyuarat juga bersetuju menetapkan hala tuju baharu PPR yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni.

Beliau berkata pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses internet seperti ‘fibre to the home’ (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa.

Ismail Sabri berkata mesyuarat MPMMN turut membincangkan strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemaju perumahan swasta.

“Kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

“Oleh itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan,” katanya.

Perdana Menteri berkata selain itu, kerajaan turut komited menyediakan RMM untuk generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri selain turut memberi tumpuan kepada pembinaan RMM di bandar kecil dan pinggir bandar bagi meningkatkan peluang membeli kediaman oleh golongan M40.

“Kebimbangan mesyuarat adalah kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.

“Justeru, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) diarah supaya menangani perkara ini. Jika ia berpunca daripada permit import (AP), mesyuarat mencadangkan supaya ia dibuka kepada semua,” katanya.




Perdana Menteri dalam masa sama menyeru semua pihak memainkan peranan supaya sasaran Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan.

Bagi mencapai matlamat berkenaan, Ismail Sabri berkata Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan.

Mesyuarat juga mendengar pembentangan oleh Institut Penyelidikan Khazanah serta Bank Negara berkenaan data-data semasa serta isu-isu berbangkit dalam aspek perumahan rakyat serta akses kepada pembiayaan bagi perumahan mampu milik.

“Maklumat ini akan dijadikan asas kepada kerajaan untuk menambah baik strategi penyediaan perumahan mampu milik serta pengukuhan dasar berkaitan,” katanya.

Mesyuarat MPMMN itu diadakan secara telesidang dan turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri, menteri-menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara serta Gabenor Bank Negara.

Turut hadir adalah wakil-wakil agensi penyedia perumahan yang terdiri daripada Agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun serta wakil pemaju perumahan swasta.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post