Pindah balak: bot tunda, tongkang ditahan
BINTULU— Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu menahan tiga bot tunda beserta tiga tongkang ketika sedang memindahkan kayu balak kira-kira 3.5 batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu, malam kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, tangkapan dilakukan Kapal Maritim (KM) Renggis semasa Operasi Permai di sekitar perairan Bintulu sekitar jam 6.30 petang.
“Operasi telah mengesan tiga bot tunda beserta tiga tongkang yang sedang memindahkan muatan barangan bercukai iaitu kayu balak daripada sebuah kapal yang berpangkalan dari Papua New Guinea.”
“Pemeriksaan dan geledah mendapati kesemua bot tunda serta tongkang memindah barangan bercukai di laut menggunakan dokumen kebenaran tamat tempoh dan gagal mengemukakan “Domestic Shipping Licence” (DSL),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, seramai 16 kru ditahan termasuk tiga nakhoda, berumur dalam lingkungan 21 hingga 55 tahun terdiri dari 11 lelaki warga tempatan, dua lelaki warga Indonesia dan tiga lelaki warga India, mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap semasa diperiksa.
Manakala muatan kayu balak dianggarkan 680 batang didapati telah dipindahkan ke atas tongkang tersebut.
Kesemua kru, tiga bot tunda beserta tiga tongkang dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM100 ribu atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.
Selain itu Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM10 ribu dan penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.
“Setakat hari ini, kami telah melakukan 11 kes tangkapan yang melibatkan bot tunda dan tongkang di perairan Bintulu,” kata beliau.
Maritim Malaysia mengambil serius akan perkara ini dan akan sentiasa membuat pemantauan rapi ke atas vesel-vesel di perairan Bintulu agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang di laut demi kesejahteraan bersama.
Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.