Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa hari Ini -- Wan Junaidi


KUCHING—Pindaan kepada empat perkara di bawah Perlembagaan Persekutuan melibatkan kepentingan Sabah dan Sarawak yang diluluskan Dewan Rakyat pada 14 Dis lepas dikuatkuasakan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu Warta Kerajaan Persekutuan telah memperkenankan penguatkuasaan pindaan itu yang melibatkan empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa kami perlukan kami boleh minta kerana ia diperuntukkan dalam perlembagaan. Itulah kesan yang amat besar kepada Sarawak dan Sabah berhubung pindaan perlembagaan ini,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Menurutnya pindaan yang dikuatkuasakan sebagai Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 itu melibatkan  fasal (2) Perkara 1 dan fasal (2) Perkara 160 untuk menjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia selaras dengan perkara-perkara yang tersurat dan tersirat dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Pindaan itu turut melibatkan fasal (6) dan fasal (7) Perkara 161A Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa ras yang dikira ras asli bagi Sarawak diperuntukkan dalam undang-undang negeri itu.

Wan Junaidi berkata penguatkuasaan pindaan ini akan memberi pulangan kepada Sarawak untuk menuntut hak-hak tertentu yang disenaraikan di bawah Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962.

Ditanya sama ada pindaan itu mengubah status Sarawak dari sebuah negeri kepada wilayah di bawah perlembagaan itu, beliau berkata perkara berkenaan akan hanya diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri itu.

 “Saya serahkan kepada negeri untuk memutuskan bagaimana mereka mahu (menamakan status itu) untuk memberi semangat mengikut pindaan ini supaya dapat membezakan (status) Sarawak dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Menurutnya rundingan untuk melakukan beberapa lagi pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan ini akan diteruskan lagi dengan mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat. 

Antaranya termasuk pengagihan lebih saksama jumlah kawasan Parlimen antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia, selain penyenaraian agensi-agensi teknikal kerajaan negeri dalam senarai agensi peringkat Kerajaan Persekutuan bagi melicinkan lagi pelaksanaan pembangunan.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post