Percutian bertukar tragedi, kanak-kanak 7 tahun lemas
Gambar hiasan |
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi tadi, mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sedang mandi di kolam renang kanak-kanak bersama dua adik beradiknya sambil ditemani ibu mangsa.
Ketua Polis Daerah Lundu Deputi Superintendan Damataries Lautin berkata, selang 30 minit kemudian, ibu mangsa dimaklumkan oleh anak sulungnya bahawa mangsa telah lemas dalam kolam renang tersebut.
"Mangsa disedari lemas oleh orang awam yang secara kebetulan mandi bersama ketika itu sebelum dibawa naik ke atas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Damataries, usaha memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa telah dilakukan oleh ibunya namun mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas.
Mangsa seterusnya dikejarkan ke Hospital Lundu untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan punca kematian adalah disebabkan lemas.
"Segala percakapan saksi telah dirakam manakala mangsa dijangka berada dalam air selama 30 minit sebelum disedari orang ramai," katanya.