Peniaga Dicekup Memiliki Dadah Bernilai RM88, 000

BAHAN BUKTI: Superintenden Zulkipli menunjukkan dadah bernilai RM88, 000 yang dirampas dari suspek dalam sidang media, hari ini.

BINTULU: Seorang lelaki tempatan yang merupakan seorang peniaga ditangkap pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Bintulu kerana memiliki 3, 414 gram dadah bernilai RM88, 000 dalam serbuan yang dijalankan ke atas sebuah rumah di Pearl Garden malam tadi.


Semasa serbuan dijalankan, suspek yang berusia 41 tahun dan mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah pada 2015 itu turut berada di kediamannya.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili dalam sidang media yang diadakan di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, hari ini berkata, pemeriksaan serta penggeledahan yang dijalankan ke atas kediaman dan kenderaan milik suspek telah menemui satu bekas plastik yang berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ekstasi seberat 3, 000 gram dan sembilan lagi paket berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis sama seberat 322 gram.

"Turut ditemui pasukan BSJND Bintulu ialah 92 gram dadah jenis ketamin," jelas beliau.
Suspek dalam pada itu katanya mengaku memiliki kesemua bekalan dadah berkenaan dan mengaku bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran bahan terlarang ini sejak tahun 2015. 

Ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek mengesahkan beliau positif mengambil dadah jenis ketamin.

Suspek menurut Zulkipli akan dikenakan tahanan reman selama tujuh hari sehingga 21 Februari ini nanti bagi membantu siasatan.

Kes ini katanya akan disiasat di mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang sekiranya didapati bersalah, suspek bakal dijatuhkanhukuman gantung sampai mati mandatori.
Next Post Previous Post