Penganjuran Citrawana dengan SOP ketat - Nancy
Persiapan pentas Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung di Tebingan Kuching pada 24 Februari hingga 27 Februari. |
KUCHING—Langkah tambahan dengan prosedur operasi standard
(SOP) COVID-19 yang ketat diadakan bagi memastikan pengunjung dapat
menikmati pelbagai aktiviti sepanjang acara Citrawarna Keluarga
Malaysia 2022.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy
Shukri berkata SOP bagi karnival empat hari itu yang bermula esok di
Tebingan Kuching di sini, telah disusun rapi supaya pengunjung dapat
bersiar-siar dengan tenang.
Beliau berkata untuk mengadakan acara besar pada masa ini,
keutamaan pertama adalah keselamatan orang ramai.
“Kita tidak akan membahayakan keselamatan kesihatan
awam, seperti ketika kita membuka sempadan untuk ketibaan antarabangsa atau
pelancongan domestik atau acara yang menarik orang ramai. SOP perlu dibuat
dahulu.
“Orang ramai perlu faham, kita berada dalam persekitaran
virus COVID-19, masih ada selepas dua tahun dan mungkin menjejaskan kita untuk
beberapa lama lagi. Kita juga perlu menyesuaikan minda kita kerana ia masih
ada, kita perlu hidup dalam norma baharu,” katanya kepada Bernama di sini hari
ini.
Karnival kali ini yang bertemakan ‘Temasya Kepelbagaian
Budaya’ itu, diadakan kembali dan Kuching menjadi lokasi pertama
dipilih selepas hampir empat tahun tidak diadakan.
Acara itu akan menyediakan pesta yang penuh warna-warni
dengan pelbagai program dan aktiviti pelancongan, selain persembahan seni dan
budaya Malaysia.
Nancy berkata antara SOP yang telah dirangka termasuk
menambah bilangan kanopi daripada satu kepada tujuh dengan setiap satu dihadkan
kepada 350 orang dan setiap pelawat hanya dibenarkan berada di mana-mana
pameran selama sejam.
Beliau berkata mereka yang menghadiri mana-mana aktiviti
juga mesti menunjukkan melalui MySejahtera atau kad fizikal mereka bahawa
mereka telah menerima dos penggalak mereka dan kanak-kanak bawah 12 tahun
tidak dibenarkan menghadiri atau mengambil bahagian.
“Sanitasi akan dijalankan sebelum dan selepas setiap
program setiap hari. Kaunter untuk ujian RTK juga akan disediakan di
hadapan setiap kanopi. Hanya makanan yang dibungkus akan dijual oleh penjual
dan tidak akan dimakan di sana,” katanya.
Nancy turut menasihatkan mereka yang ingin mengunjungi
karnival itu supaya sentiasa memakai pelitup muka, mematuhi penjarakan
fizikal, kerap mencuci tangan dan menjalankan ujian RTK mereka sendiri sebelum
hadir.
-- BERNAMA