Pembonceng maut, penunggang parah, motosikal dilanggar kereta


KOTA SAMARAHAN: Seorang pembonceng wanita maut manakala penunggang lelaki cedera parah selepas motosikal yang dinaikinya dilanggar sebuah kereta di Kilometer 24 Jalan Kota Samarahan Asajaya di sini pagi tadi. 


Dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 7 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Ain Andin Abdullah, 33, beralamat dari Kampung Nakong, Kota Samarahan.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, pembonceng disahkan meninggal dunia di Hospital Jantung Sarawak pada jam 7.35 pagi.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang oleh seorang lelaki, 37, bersama pembonceng semasa bergerak keluar dari simpang kiri dan bergerak lurus telah dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki, 55, bergerak lurus dari arah Serian hendak menuju ke arah Sekolah Kebangsaan Tambirat, Asajaya.

"Akibat kemalangan itu, pembonceng disahkan meninggal dunia di Hospital Jantung Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, penunggang motosikal terbabit cedera parah manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Tegas Alexson, polis telah melawat tempat kejadian, mengambil gambar, melukis rajah kasar dan mengukur jalan.

Jelasnya kes masih dalam siasatan dan akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post