Pejalan kaki maut, pemandu ditahan

Gambar hiasan

KUCHING: Seorang pejalan kaki yang cedera parah akibat dilanggar sebuah kereta pada Isnin lalu disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sekitar jam 4.30 pagi pada 15 Februari lalu di Hospital Umum Sarawak.

"Kemalangan ini berlaku sekitar jam 7.30 malam pada 14 Februari lalu melibatkan sebuah kereta dengan seorang pejalan kaki di Jalan Setia Raja, Kuching.

"Akibat kemalangan tersebut, pejalan kaki mengalami kecederaan di bahagian kepala telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dan telah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital pada 15 Februari 2022 jam 4.30 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya lagi, pemandu kereta telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu menyebabkan kematian.

Jelas Ahsmon, identiti mangsa yang merupakan seorang lelaki masih belum dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

"Sehubungan itu, sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai kejadian kemalangan ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Azri Mohd Azhar, pegawai penyiasat trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 012-9059549," katanya.
Next Post Previous Post