Pejalan kaki maut digilis lori ketika mengundur
Seorang pejalan kaki maut dirempuh lori mengundur pagi tadi |
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian pada jam 8.10 pagi, mangsa seorang wanita yang dikenali sebagai Ngo Hii Chin, 58 tahun beralamat di Jalan King Kong, Batu Kawa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.
"Siasatan awal mendapati sebuah lori yang dipandu secara mengundur oleh pemandu lori lelaki berusia 46 tahun yang dalam posisi mengatur kedudukan untuk masuk ke dalam bengkel telah terlanggar seorang pejalan kaki yang berjalan menuju ke deretan kedai makan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Alexson, siasatan awal di lokasi kejadian, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dalam perjalanan menuju ke deretan kedai dan digilis oleh sebuah lori yang sedang mengundur untuk mengatur kedudukan masuk ke dalam bengkel.
"Mangsa dipercayai digilis pada bahagian tayar belakang sebelah kiri lori yang tidak mempunyai muatan," katanya sambil menambah semasa kemalangan keadaan cuaca baik.
Sehubungan itu, katanya, saksi di tempat kejadian akan dikesan untuk membantu siasatan.
"Waris mangsa telah dimaklumkan untuk membuat laporan polis di Trafik Kuching," ujarnya lagi.
Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk ujian COVID-19 sebelum bedah siasat dijalankan.
Siasatan lanjut masih diteruskan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.