Pasangan kekasih antara ditahan edar dadah
Dadah yang berjaya dirampas dalam dua serbuan di sekitar George Town. Gambar kredit : PDRM Pulau Pinang |
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketiga-tiga mereka yang berumur antara 24 dan 47 tahun merupakan warga asing yang bekerja sebagai kontraktor, dan mereka ditahan hasil risikan serta intipan polis sejak sebulan lepas.
Beliau berkata dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Jelutong, polis merampas 90,000 biji yaba atau pil kuda serta syabu dalam bungkusan teh herba cina (1,930 gram) dan 27,000 biji pil psikotropik yang kesemuanya bernilai RM978,500.
“Siasatan mendapati dadah itu dibawa masuk dari negara jiran, untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya siasatan mendapati ketiga-tiga mereka menjalankan kegiatan itu sejak Mac tahun kepas dan susulan penahanan mereka, polis turut menyita tiga buah kenderaan, barang kemas dan wang tunai RM30,000.
"Semua yang disita daripada tiga individu itu bernilai RM82,550 dan mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dan menambah semua dadah dirampas itu boleh digunakan oleh 108,650 penagih dadah.
Dalam perkembangan lain Mohd Shuhaily berkata polis menahan tiga lelaki berusia 39 hingga 53 tahun dan merampas ganja seberat 950 gram bersama wang tunai RM181,000 dalam serbuan di Kubang Semang, Bukit Mertajam dekat sini semalam.
Beliau berkata polis pada mulanya menahan dua lelaki di sebuah rumah sebelum menahan seorang lagi di rumah bersebelahan, dan susulan pemeriksaan lanjut pihaknya menemukan wang tunai RM181,000 di kediaman kedua yang dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah.
"Ganja itu bernilai RM2,375 dan apa yang menarik dalam kes ini, mereka menyimpan wang tunai hasil kegiatan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun lepas di rumah, semua dadah itu boleh digunakan 1,900 penagih dadah," katanya.
Menurutnya dua daripada mereka bekerja buruh binaan, manakala seorang lagi petani, dan mereka didapati mempunyai rekod lampau serta positif dadah.
Mohd Shuhaily berkata ketiga-tiga mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA