Padah buat pusingan U, pelajar maut dilanggar pikap


SERIAN: Seorang pelajar maut selepas motosikal ditunggang kemalangan di lampu isyarat Batu 11 Jalan Kuching/ Serian, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 18 tahun dari Kota Padawan,
Batu 10 Jalan Penrissen, yang cedera parah maut selepas tiga jam mendapat rawatan di hospital.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dipercayai semasa penunggang motosikal seorang diri di dalam proses membuat pusingan U dari arah Kuching dan menghala kembali ke Kuching ketika lampu isyarat dilaluannya sedang berwarna merah.


"Mangsa dilanggar oleh pemandu pikap seorang penyelia lelaki berusia 37 tahun yang bergerak lurus dari arah Serian menghala ke Kuching ketika lampu isyarat dilaluannya berwarna hijau."


"Akibat kejadian, penunggang telah tercampak ke bahu jalan dan mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, penunggang telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh paramedik HUS untuk menerima rawatan lanjut.


"Pada jam 12.05 tengah malam waris kepada penunggang telah hadir ke kaunter aduan Bahagian Trafik IPD Padawan memaklumkan bahawa penunggang telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di HUS," ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post